Jangan Takut Kerajaan Baru, Kongsi Bersama Masalah Penggiat Seni

Hiburan
Jangan Takut Kerajaan Baru, Kongsi Bersama Masalah Penggiat Seni
Pensyarah filem, Dr Ahmad Ibrahim menyarankan golongan selebriti dan karyawan filem tidak takut pada kerajaan baru Pakatan Harapan sebaliknya tampil berkongsi permasalahan dalam industri untuk penambahbaikkan.
 
Beliau berpandangan pelantikan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia seharusnya disokong penggiat seni untuk bersama dalam memajukan bidang hiburan tanah air.
 
"Seperti kita tahu beliau daripada latar belakang undang-undang jadi, beliau tidak tahu pemasalahan penggiat seni jika kita sendiri tidak beritahu padanya," katanya pada Astro Gempak.
 
Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London mencadangkan taklimat secara komprehensif perlu diadakan membabitkan penggiat seni untuk berbincang hala tuju industri.
 
"Seperti kewujudan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), kita tidak mahu penglibatan ahli politik yang mempunyai kepentingan tertentu sebaliknya golongan ini menyokong penggiat seni dalam memajukan industri," katanya.
 
Beliau yang juga Sarjana Kreatif di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut mencadangkan lima perkara penting perlu dipertimbangkan dalam pelantikan jawatan Pengerusi FINAS yang baru iaitu bukan ahli politik, tiada syarikat yang menjurus pada kepentingan sendiri dan berpengalaman luas dalam bidang seni.
 
Malah, beliau mengharapkan individu ini mempunyai latar belakang akademik dan juga mesra dengan persatuan-persatuan seni yang sedia ada.
 
Ditanya jika namanya dipilih sebagai calon, belia menyatakan akan fokus pada antara usaha mewujudkan tabung skrip yang membantu golongan seni dari aspek penerbitan filem pendek, program televisyen dan filem cereka.
 
Baginya, skrip adalah asas yang kuat dalam menghasilkan produk yang berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
 
Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Ahmad Ibrahim (Mat London) - Facebook
 

Artikel Berkaitan