UNIC Terpaksa Terima Kecaman Selepas Buang Imej Artis Nasyid

Hiburan
UNIC Terpaksa Terima Kecaman Selepas Buang Imej Artis Nasyid
Kumpulan nasyid, UNIC terpaksa terima kecaman daripada peminat yang mendakwa imej mereka kini tidak melambangkan artis nasyid.

Salah seorang anggota UNIC, Fakhrul berkata ada sebab mengapa mereka mengubah imej dan tidak menghiraukan segala kecaman tersebut.

“Sejak menyertai Gema Gegar Vaganza (GGV) lagi kami sudah mula mengubah imej kami dengan hanya bertopi atau berambut pacak tanpa kopiah atau jubah seperti kebiasaannya.

“Namun nampaknya ada sesetengah peminat yang tidak dapat menerima perubahan ini dan terus mengecam kami sehingga kini.

“Sebenarnya UNIC sudah 15 tahun duduk dalam kelompok yang sama iaitu orang-orang di surau, masjid dan insititut pengajian Islam sahaja.

“Kini sudah tiba masanya kami cari peminat baru dan kelompok yang lebih besar seperti menyanyi di atas kapal cruise, di majlis-majlis korporat mahupun menarik minat golongan mat rempit.

“Kami tahu orang muda ni suka berfesyen dan berlawak, jadi kita cuba untuk mengikuti peredaran semasa selagi ia tidak melanggar syarak,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain Fakrul, UNIC turut dianggotai oleh Bazli dan Wan Najdi.

Sementara itu, Bazli memberitahu untuk single terbaharu berjudul Sedar, mereka cuba kelainan untuk berkolaborasi dengan rapper Caprice.

“Kami cuba kelainan kali ini dengan mengubah sedikit genre lagu kami yang tidak kedengaran seperti lagu nasyid tetapi mempunyai mesej yang baik untuk disampaikan.

“Pertama kali berkolaborasi dengan Caprice, kami rasa ia satu langkah yang baik untuk kami kumpul peminat muzik hip hop pula,” katanya.

Single Sedar yang merupakan lagu ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatana itu sudah mula diperkenalkan di laman Youtube.

Teks oleh: Syafiqah Jalal

Artikel Berkaitan