KL Wangan – Pekin ‘Jahanamkan’ Tiga Buah Nissan Skyline

13 Disember 2017. 10.09 PM
7,212
Filem
KL Wangan – Pekin ‘Jahanamkan’ Tiga Buah Nissan Skyline

Umum mengetahui filem aksi kereta KL Wangan menelan belanja sehingga RM5 juta untuk keseluruhan proses pembikinannya, termasuk kos pemasaran dan promosi.

Pekin Ibrahim yang juga pengarah KL Wangan mengakui kos tersebut agak tinggi namun berbaloi dengan kualitinya.

“Saya tahu mungkin akan ada yang bertanya mengapa KL Wangan menelan belanja yang begitu besar, tetapi percayalah, mereka akan faham selepas menonton nanti.

“Untuk menghidupkan setiap babak dan merealisasikan filem aksi bukan suatu perkara yang mudah. Biar habis wang, tenaga dan masa...asalkan hasilnya tidak mengecewakan.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana bebanan perbelanjaan itu dapat dikurangkan dengan bantuan penaja.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada para pelakon KL Wangan kerana komitmen yang mereka berikan demi untuk merealisasikan filem ini,” katanya.

Lebih membanggakan filem terbitan syarikatnya Centro Pictures itu ditaja syarikat automobil bertaraf antarabangsa, Volkswagen.

Antara kereta mewah ditaja oleh Volkswagen Malaysia ialah daripada model Golf R, Golf Gti, Beetle dan Passat B8.

Pekin berkata dia berbangga kerana berjaya mendapatkan Volkswagen untuk menaja KL Wangan.

"Satu penghargaan dan penghormatan buat saya apabila syarikat antarabangsa sudi memberikan kerjasama," ujarnya.

Dalam pada itu Pekin turut mendedahkan terpaksa 'mengorbankan' tiga buah kereta mewah Nissan Skyline.

“Ya, betul...tiga buah Skyline terpaksa saya korbankan untuk filem ini. Semuanya kerana saya nak setiap babak nampak ‘real’.

“Saya tak ralat kerana saya mahu semua penonton mendapat kepuasan, dalam masa sama ingin memberitahu kepada orang di luar sana yang KL Wangan bukan produk ‘main-main’,” katanya.

Pekin ditemui selepas majlis tayangan Perdana filem KL Wangan di GSC, Pavillion, Kuala Lumpur.

Wangan membawa maksud ‘berlumba di tengah malam’ dan naskah ini adalah mengenai kelajuan dan keberanian, yang disulami dengan dendam serta pengkhianatan.

Ia juga turut dipenuhi babak lasak pemanduan kereta dalam 'mood' kelajuan yang pantas.

KL Wangan bakal menemui penonton 21 Disember ini menampilkan Pekin memegang watak sebagai Ejay dan dia terperangkap dalam perhitungan peribadi di antara Rudi (Faizal Hussein) dan Hong (Kazuto Soon).

Foto: Instagram KL Wangan
 


Artikel Berkaitan