Raih RM1 Juta Selepas 4 Hari Tayangan, Filem Pinjamkan Hatiku Tetap Jadi Mangsa Cetak Rompak

4 Disember 2017. 9.00 PM
3,196
Filem
Raih RM1 Juta Selepas 4 Hari Tayangan, Filem Pinjamkan Hatiku Tetap Jadi Mangsa Cetak Rompak
Pengasas Aurawhite Global Sdn Bhd yang juga merupakan penerbit eksekutif filem Pinjamkan Hatiku, Datuk Saiful Safwan Mohamed Ghazi kesal kerana filem tersebut menjadi mangsa cetak rompak digital.

Safwan membuat laporan polis di Balai Polis Puchong Jaya sebentar tadi kerana rakaman penuh filem lakonan Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil itu telah dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di laman sosial
Facebook, Jumaat lalu.

“Alhamdulillah, selepas empat hari tayangan, filem Pinjamkan Hatiku meraih kutipan RM1 juta. Namun begitu, di sebalik sambutan yang hangat, filem ini tetap menjadi mangsa cetak rompak.

“Laporan dibuat selepas ada pihak yang mengadakan sesi Facebook Live sepanjang tayangan filem tersebut. Laporan polis kami lakukan agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas ke atas individu tersebut.

“Sebelum membuat laporan, pihak kami sudah menghubungi individu tersebut dan memohonnya agar memadam rakaman itu. Selepas tidak menerima jawapan balas, kami laporkan kepada pihak Facebook dan akhirnya rakaman penuh filem itu dipadamkan.

“Kegiatan yang boleh disifatkan sebagai cetak rompak digital ini semakin berleluasa. Saya sangat kesal dan berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan,” kata Safwan.

Safwan hadir di Balai Polis Puchong Jaya bersama pengarah filem Pinjamkan Hatiku, Osman Ali dan penerbit yang mewakili Nuansa Sdn Bhd, Yus Yusop.

Sementara itu, Osman turut meluahkan rasa kecewa kerana filem arahannya bocor sekali lagi.

“Sebelum ini, filem Kau Yang Satu dirakam secara haram. Kali ini, selepas beberapa bulan, filem Pinjamkan Hatiku yang baru sahaja menjengah pawagam pada 30 November lalu menerima nasib serupa.

“Saya sangat kecewa kerana kejadian ini semakin membimbangkan. Bayangkan, rakaman itu sudah meraih lebih 600 tontonan kurang 24 jam disiarkan.

“Saya meminta agar pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan perkara ini. Penat lelah kami yang terdiri daripada penerbit, pelakon serta pekerja dalam industri perfileman tidak dihargai dengan adanya insan yang tidak bertanggungjawab.

“Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas dan hukuman setimpal harus dilaksanakan kepada mereka agar dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak,” kata Osman.

Selain Ayda, Sam dan Farid, filem yang sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia ini turut dilakonkan oleh Lia Natalia, Azizah Mahzan, Norman Damanhuri dan ramai lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Artikel Berkaitan