Mahu Kelainan, Hazama Tampil Dengan Aku Bukan Dewa Bersama Altimet

Hiburan
Mahu Kelainan, Hazama Tampil Dengan Aku Bukan Dewa Bersama Altimet
Penyanyi Hazama akui mahukan kelainan untuk single terbaharunya berjudul Aku Bukan Dewa.
 
Menurut Hazama, lagu tersebut begitu istimewa kerana muzik yang dipersembahkan seolah-olah memberi gambaran penceritaan dan ‘mood’ atau suasana yang ingin disampaikan.
 
“Saya sangat teruja kerana sekali lagi berpeluang untuk bekerjasama dengan nama-nama hebat di sebalik tabir penghasilan ‘Aku Bukan Dewa’ ini.
 
“Segah tajuk yang diberi, karya ini sekali lagi mempamerkan kehebatan Ad Samad dalam menghasilkan sebuah lirik yang cukup bermakna dan memiliki maksud yang begitu mendalam, keindahan muzik hasil sentuhan komposer terkenal Taja.
 
“Sahabat baik saya, Altimet juga turut menyumbangkan gegaran rap kreatifnya bagi melengkapkan nukilan ini. Hasilnya, terbitlah ‘Aku Bukan Dewa’, istimewa untuk peminat-peminat di luar sana.
 
“Lagu ini sangat dekat dengan diri saya kerana ia menceritakan tentang semangat juang saya dalam industri muzik ini. Dari hari pertama saya bertapak dalam industri, pelbagai ranjau dan onak duri terpaksa saya tempuhi sebelum saya menjadi seperti ini.
 
“Ad Samad berjaya mengolah lirik lagu ini dengan baik sekali, dan Taja pula menyokong dengan menghidupkan elemen misteri dan teka-teki dalam lagu ini.
 
“Genre muzik kali ini iaitu progresif pop rock, berlainan dari konsep pop balada yang saya bawa selama ini. Saya ingin lari dari ruang selesa dan tampilkan dengan lagu rancak,” katanya.
 
Mengulas pula mengenai single tersebut, Hazama memberitahu dia tidak mengalami sebarang kesulitan sepanjang menghasilkan lagu berkenaan.
 
“Sejujurnya, saya tidak mengalami sebarang kesulitan dari aspek vokal kerana saya begitu menyukai dan sangat teruja dengan lagu ini.
 
“Semangat untuk mempersembahkan lagu ini dating secara semulajadi. Bagi saya mungkin cabaran itu hadir di saat ingin memenangi hati peminat terutamanya mereka yang selama ini terbiasa dengan lagu-lagu saya yang berentak pop balada.
 
“Saya harap, peminat dapat menerima kelainan ini dengan hati terbuka,” jelasnya.
 
Buah tangan terbaharu Hazama yang  diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd akan mula menemui peminat menerusi corong-corong radio tempatan bermula pada hari ini.
 
Selain itu, single ini juga boleh didengari secara online menerusi aplikasi Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.
 
Muzik video lagu ini pula dijangka bakal menemui peminat dalam jangka masa terdekat ini di saluran Youtube Rocketfuel Network.
 
Lagu ‘Aku Bukan Dewa’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.
 
Layari saluran Youtube Rocketfuel Network untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan