Suruhlah Yang Kritik Pelawak Tu Sendiri Jadi Pengacara - Nabil Ahmad

29 September 2017. 1.00 PM
6,297
Hiburan
Suruhlah Yang Kritik Pelawak Tu Sendiri Jadi Pengacara - Nabil Ahmad
Pengacara Meletop, Nabil Ahmad terkilan apabila tugas dan kredibiliti pelawak yang menjadi pengacara untuk acara besar seperti majlis anugerah dipertikaikan.

Kata Nabil, dia menyeru sekiranya ada individu bukan pelawak yang mampu mengendalikan sesebuah acara besar untuk tampil menjadi pengacara.

"Cuba cakap siapa pengacara bukan pelawak yang mampu memberikan hip dan mengemudi acara besar seperti majlis anugerah dengan baik?

"Saya tidak kata pelawak hebat namun berdasarkan pengalaman apa yang seseorang yang bukan pelawak mampu buat sekiranya perlu mengacarakan majlis secara spontan tanpa skrip?

"Di situlah letaknya kepentingan skil untuk melawak. Sekurang-kurangnya majlis tidak sepi.

"Apapun, penerimaan orang terhadap pelawak yang menjadi pengacara itu subjektif, ada segelintir penonton atau audiens melihat lawak itu sesuatu yang sensitif.

"Andai rasa lawak yang disampaikan oleh pelawak yang menjadi pengacara itu sensitif dan mengaibkan, teruskan saja dengan tindakan selanjutnya. 

"Jika perlu permohonan maaf terbuka, kita akan buat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ceria i-Star 2017 di Talent Lounge, PJ Trade Centre, Damansara baru-baru ini.

Nabil mengulas mengenai isu kritikan netizen yang melihat pelawak tidak mampu mengacarakan majlis berprestij seperti Festival Filem Malaysia hingga mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap jenaka yang disampaikan.

Sehubungan itu juga, Nabil memberitahu dia tidak pernah membaca ruangan komen di media sosialnya sekiranya timbul isu panas mengaitkan diri atau kariernya.

"Saya tidak marah tetapi cara pemikiran kita berbeza-beza, jadi lebih baik saya tidak membaca sebarang komen.

"Kalau betul saya salah cakap, saya boleh minta maaf. Asalkan cepat selesai dan masing-masing boleh teruskan dengan kerja lain," katanya.

Nabil merupakan juara rancangan realiti Raja Lawak musim kedua dan pernah mengacarakan Anugerah Industri Muzik 20 (2013), Anugerah MeleTOP Era (2014), Gegar Vaganza dan Festival Filem Malaysia dua tahun berturut-turut (2015 & 2016).

Malah, pada Februari lalu, Nabil dilantik sebagai hos karpet merah untuk anugerah Anugerah Akademi ke-89 (Oscars) di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: Men's Health

Artikel Berkaitan