"Aidil Aziz Rapat Dengan Anak-Anak Saya Kerana...." - Fasha Sandha

Hiburan

Aktres jelita, Fasha Sandha, 34, mengakui pelakon Aidil Aziz rapat dengan dua orang anaknya, Putra Rayfal Ramli, 4, dan Putri Raysha Jemaima, 3.

"Alhamdulillah, hubungan kami baik sebagai kawan. Aidil rapat dengan anak-anak saya. Mereka juga selesa dengan Aidil.

"Sebenarnya, anak perempuan saya, Jemaima sukar mesra dengan orang lain kerana dia ada perangai tersendiri. Tetapi, apabila dia dengan Aidil, mereka mudah mesra.

"Mungkin Aidil rapat dengan anak-anak saya kerana dia mempunyai aura tersendiri yang disukai oleh kanak-kanak. Aidil juga mesra dengan anak-anak saudaranya," katanya

Mereka didakwa sedang bercinta tetapi Fasha dan Aidil selesa menggelarkan hubungan yang terjalin sebagai teman rapat.

"Kami saling mengenali keluarga masing-masing. Saya pernah jumpa keluarga Aidil dan Aidil juga sudah bertemu keluarga saya.

"Saya dan Aidil berteman rapat dan saya selesa berkawan dengan Aidil kerana dia seorang lelaki yang baik," katanya.

Fasha ditemui ketika majlis pelancaran Aurawhite Toothpaste di Meet & Dine, Cheras semalam.
 

Dilantik menjadi ikon produk tersebut, Fasha mengakui dirinya bersikap cerewet sebelum bersetuju dengan lamaran terbabit.

"Apabila pihak Aurawhite mahu melamar saya menjadi ikon, saya mahu mencuba keberkesanan produk tersebut terlebih dahulu.

"Saya sangat mementingkan kualiti dan tak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga dan menerima tawaran kerana duit. 

"Selepas beberapa bulan mencuba, saya selesa dengan produk terbabit dan Alhamdulillah, terjalinlah kerjasama antara saya dengan jenama ubat gigi ini," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Fasha

Artikel Berkaitan